Friday, December 31, 2010

menepati janji

Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bersama-sama meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t dengan melaksanakan segala yang terkandung dalamhukum islam dan iman serta meninggalkan segala larangannya.Marilah kita bermuhasabah dengan menghitung segalaamalan yang telah kita kerjakan sebelum tibanya hari perhitungan dihadapan allah s.w.t. Mudah-mudahan ia akan memberi keinsafan diatas segala kesilapan yang telah kita lakukan.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah,
Perjanjian sesama insan adalah ibarat hutang yang perlu ditunaikan dan tidak boleh dipandang ringan,kerana perbuatan memungkiri janji amat dimurkai oleh allah s.w.t.Orang yang berakhlak mulia ialah yang bersifat amanah dan sentiasa menepati janji-janjinya.Manakala pecah amanah dan tidak menepati janji pula adalah tanda merosotnya iman dan menyebabkan jauh diri daripada takwa.Firman Allah s.w.t seperti yang tersebut dalam surah al-baqarah sebahagian daripada ayat 177:
“Dan orang yang menyempurnakan janjinya apabila mereka berjanji”.
Ayat tersebut menjelaskan bahawa orang yang menepati janji dan menyempurnakannya adalah bukti orang yang beriman dan bertakwa.
Kaum muslimin yang dirahmati Allah sekalian,
Secara umumnya,janji adalah wajib ditepati dan ia merupakan tuntutan syarak.Dihari akhirat kelak,setiap manusia akan ditanya tentang janji yang telah mereka lakukan semasa hidup didunia ini. Firman Allah dalam surah al-isra’ ayat 34:
“Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim,melainkan dengan cara yang terbaik (untuk mengurus dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa,serta layak mengurus hartanya dengan sendiri).Sempurnakanlah perjanjian (dengan allah dan dengan manusia) sesungguhnya perjanjian itu akan dipertanggungjawabkan”.
Perbuatan memungkiri janji adalah suatu perkara yang tidak disukai oleh semua orang.Malah orang yang mungkir janji juga pasti tidak suka jika orang lain mungkir janji kepadanya.
Kaum muslimin yang berbahagia,
Sesungguhnya islam amat mengambil berat dalam soal janji,samada janji antara seorang muslim dengan yang lainnya atau janji seorang hamba dengan allah s.w.t.Betapa beratnya perbuatan tidak menepati janji sehingga telah digambarkan oleh rasulullah s.a.w sebagai menyamai salah satu sifat orang-orang munafik.
Sabda rasulullah s.a.w:
“Tiga perkara apabila seseorang itu memilikinya,maka dia dianggap munafik sekali pun dia berpuasa dan sembahyang dan menganggap dirinya muslim,iaitu apabila berkata-kata dia berdusta,apabila berjanji dia memungkiri dan apabila diamanahkan dia mengkhianati”.
Berdasarkan hadis tersebut,dapatlah difahami bahawa sekiranya kita sebagai umat islam memungkiri janji,maka sudah tentulah kita juga tergolong dalam kalangan orang yang memiliki sifat-sifat orang munafik.Perlu diingat dan diketahui bahawa sifat munafik itu adalah sifat yang sangat keji dan balasannya pula amat berat sebagaimana firman allah s.w.t:
“Sesungguhnya orang munafik itu ditempatkan pada tingkatan yang paling bawah daripada (lapisan-lapisan didalam)neraka, dan engkau tidak sekali-kali akan mendapat sesiapa pun yang boleh menolong mereka (yang dapat membebaskan mereka dari neraka)”.
(An-Nisa’ ayat 145)
Memandangkan janji itu suatu amanah dan mungkir janji itu pula perbuatan orang munafik dan berdosa besar,maka islam sebagai agama yang sempurna telah menentukan adab-adab yang perlu diikuti apabila membuat janji.Diantara adab tersebut ialah mengucapkan lafaz “Insya-Allah” apabila berjanji.Suruhan ini telah dijelaskan oleh allah s.w.t dengan firmannya didalam surah al-kahfi ayat 23-24:
“Dan janganlah engkau berkata mengenai sesuatu (yang hendak dikerjakan),bahawa aku akan lakukan yang demikian itu kemudia nanti”.Melainkan (hendaklah disertakan dengan berkata):”Insya-Allah”.Dan ingatlah serta sebutkan akan tuhanmu jika engkau lupa,dan katakanlah :”Mudah-mudahan tuhanku memimpinku ke jalan petunjuk yang lebih dekat dan lebih terang daripada ini”.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah,
Pada masa kini, perkataan “insya-Allah” telah disalah gunakan oleh segelintir masyarakat.Lafaz insya-Allah digunakan sebagai alasan untuk sengaja tidak memenuhi janji.Kita perlu menyedari bahawa penggunaan lafaz insya-Allah itu adalah suruhan allah dan rasulnya ketika berjanji.Oleh itu,setiap kali kita melafazkan insya-Allah, hendaklah disertai dengan azam untuk menunaikannya,agar kita tidak tergolong dalam golongan orang-orang munafik.
Setiap janji mestilah ditepati,samada janji manusia sesama manusia atau janji manusia dengan Allah.Jadikanlah ungkapan insya-allah itu sebagai azam untuk menepati janji dan menyempurnakannya.
Jadikanlah diri kita orang yang bertakwa dan berpegang pada janji ,bukannya orang yang memungkiri dan mengkhianati janji.Mudah-mudahan kita menjadi insan yang sentiasa beroleh rahmat dan hidayah allah s.w.t,bahagia hidup didunia dan diakhirat.
“(Ingatlah ) ketika allah mengambil perjanjian setia daripada orang yang telah diberikan kitab (iaitu):”Sesungguhnya!,hendaklah kamu menerangkan isi kitab itu kepada umat manusia dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. Kemudian mereka melemparkan janji itu kebelakang mereka,serta mereka menukarnya dengan harga yang sedikit.Maka amatlah buruk apa yang mereka dapat daripada penukaran itu”.
Ya-Allah,engkaulah tuhan yang maha berkuasa,kami bersyukur kehadratmu yang telah mengurniakan kami rahmat dan nikmat,sehingga kami dapat meneruskan usaha kearah memperkukuhkan negara umat islam khususnya negeri selangor,sebagai negeri yang maju dan sejahtera.Justeru kami pohon kehadratmu ya-Allah,tetapkanlah iman kami,tingkatkanlah amal kami, kukuhkanlah perpaduan kami,murahkanlah rezeki kami,kayakanlah kami dengan ilmu yang bermanfaat,suburkanlah jiwa kami dengan budipekerti yang mulia,kembalikanlah generasi muda kami kejalan yang engaku redhai,lindungilah kami daripada ujianmu yang berat seperti banjir besar,kemarau panjang,wabak penyaklit,persengketaan,kemiskinan dan lain-lain supaya dengan demikian,negeri kami akan sentiasa bertambah makmur dan berkat.
Sumber : JAIS 4 April 2008.

No comments:

Post a Comment